Click here for Myspace Layouts

ALAM CIPTAAN TUHAN

ALAM CIPTAAN TUHAN

ASSALAMUALAIKUM. SELAMAT DATANG. SALAM PERSAUDARAAN.

SALAM PERSAUDARAAN BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI.

KITA HADIR KE BLOG INI KERANA ALLAH DAN KITA TINGGALKANNYA NANTI KERANA ALLAH.AMIN.

Thursday, May 13, 2010

BAGAIMANA MENDIDIK DIRI MENCINTAI ALAM SEKITAR?

Pendidikan menjaga alam sekitar dan kebersihan bermula di rumah dan mudah dilaksanakan seandainya ibu bapa benar-benar komited untuk melaksanakan usaha murni ini. Ia bukanlah suatu perkara yang sukar dilaksanakan dan tidak memerlukan kos tinggi malahan banyak memberikan manfaat kepada setiap keluarga yang mengamalkannya. Oleh itu, ada beberapa kaedah mudah yang boleh diamalkan ibu bapa untuk mendidik anak untuk menjaga alam sekitar bermula dari rumah.
Pertama; Menanam sikap membuang sampah di tempat yang betul. Pada masa ini, pembuangan sampah sudah menjadi tabiat di kalangan masyarakat. Amalan membuang sampah di tempat yang betul dapat mendidik generasi cintakan kebersihan dan bencikan kekotoran. Melalui pendidikan alam sekitar di rumah, anak diberikan penekanan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.

Kedua; Amalan mengasingkan sampah mengikut jenis seperti kertas, plastik botol kaca dan sisa makanan boleh dibudayakan daripada rumah. Ia dapat dilakukan dengan menyediakan empat bekas sampah yang berlainan warna (kuning, biru, jingga dan hijau) bagi mengasingkan sampah harian yang terhasil. Ia boleh diletakkan di tempat strategik di dalam dan halaman rumah.

Ketiga; Ibu bapa perlu mengadakan ruang di halaman rumah untuk menanam tanaman seperti pokok bunga, sayuran dan buah-buahan. Ia bukan saja dapat mengindahkan persekitaran rumah malahan sayuran dan buah-buahan boleh dijadikan santapan berkhasiat untuk jamuan sekeluarga. Sekiranya ruang untuk menanam tumbuhan terhad teknik hidroponik boleh dilaksanakan. Selain itu, sisa makanan yang terhasil setiap hari boleh digunakan sebagai baja kompos organik untuk menyuburkan tanaman. Ibu bapa perlu melakukan aktiviti ini secara bersama dengan anak. Kaedah ini dapat menerapkan kefahaman menyayangi alam melalui penanaman tumbuhan yang boleh memberi manfaat kepada manusia.

Keempat; Aktiviti rekreasi alam sekitar perlu diperbanyakkan dan amalan membeli belah ke pusat beli- belah perlu dikurangkan. Ini dapat menggalakkan anak berjimat cermat dan pada masa sama meningkatkan kesedaran untuk menyintai alam sekitar di kalangan anak.
Aktiviti rekreasi alam sekitar seperti ke kawasan rekreasi air terjun, kawasan tanah tinggi, hutan, sungai dan pantai adalah lebih bermanfaat daripada ke pusat beli-belah, sekali gus mengisi masa lapang anak dengan penuh berkualiti.

Kelima; Amalan penjimatan tenaga perlu dijadikan amalan di rumah. Amalan penjimatan penggunaan elektrik dan air boleh dilakukan dengan mematikan suis lampu, pendingin hawa dan kipas apabila ia selesai digunakan. Penggunaan air pula di gunakan secara berhemat dengan memastikan air yang digunakan secukupnya dan tidak membazir. Air basuhan pakaian sebenarnya masih boleh digunakan untuk menyiram pokok dan tanaman di halaman rumah.

Keenam, aktiviti mengemas rumah, mencuci kereta dan membersihkan halaman perlu dijadikan budaya di dalam sesebuah keluarga. Ia perlu diadakan sekerap mungkin. Anak-anak yang diajar dengan nilai baik mencintai kebersihan dan membenci kekotoran akan dapat melahirkan ahli masyarakat yang baik ketika berada di luar rumah.

Ketujuh; Bagi mendidik keprihatinan mengenai alam sekitar anak perlu didedahkan dengan maklumat mengenai isu alam sekitar yang berlaku. Majalah berbentuk pendidikan alam sekitar perlu diperbanyakkan di rumah. Anak yang didedahkan maklumat dan bahan bacaan mengenai alam sekitar akan dapat membina pemikiran yang sihat dan matang.
Gambar hiasan di dalam rumah juga perlu menonjolkan aspek cintakan alam sekitar. Sesungguhnya isu dan masalah alam sekitar kini semakin mencabar dan kompleks. Peranan ibu bapa amat penting bagi mendidik anak menghayati alam sekitar. Generasi muda yang terbina dengan asas nilai murni yang kuat dari rumah dapat membina masyarakat yang bertanggungjawab dan sedar mengenai alam sekitar.
Semua yang telah dibincangkan di atas adalah bagaimana mendidik anak mencintai alam sekitar. Bagaimana pula dengan diri kita sebagai orang dewasa. Apa yang berlaku dewasa ini orang dewasa yang mencemarkan alam sekitar, bukan kanak-kanak. Orang dewasa yang menggunakan kenderaan bermotor yang mengeluarkan asap yang kotor. Orang dewasa yang menghisap rokok mencemarkan kesihatan diri dan orang lain. Orang dewasa yang membuang sampah merata-rata. Orang dewasa yang membuang barang yang tidak diperlukan sedangkan masih boleh dikitar semula. Orang dewasa yang suka menunjuk-nunjuk tinggal di rumah besar berpagar konkrit tanpa pohon di sekitar. Orang dewasa yang memilih untuk tinggal di rumah yang di bina di lereng bukit, menggalakkan pemaju menarah bukit merosakkan alam semulajadi. Air limpahan dari kawasan berbukit turun mengalir deras ke kawasan air terjun atau sungai mencemarkan.
Orang dewasa, orang dewasa, orang dewasa.....bagaimana mendidik orang dewasa. Ada orang dewasa memandang serong kerja elok yang dilakukan oleh orang lain. Contohnya, seorang jiran saya berbangsa Cina setiap pagi akan berjalan di sekitar perumahan untuk mengutip barangan plastik atau kertas yang dibuang oleh jiran yang lain. Dia melakukan ini bukan kerana wang. Hanya kerana menyahut seruan untuk mengitar semula barangan di samping membantu badan amal yang memerlukan. Aktivitinya ini saya lihat sebagai menyumbang kepada penjagaan alam sekitar. tetapi bagi orang lain yang tidak faham, mereka akan berkata, " macam dah tak ada kerja lain nak buat". Sewajarnya kita berterima kasih kepadanya. Sepatutnya kita asingkan sampah mengikut jenis, sijiran ini akan mengambil barang plastik dan kertas, dengan ini kuranglah sampah kita tetapi..............memang ramai orang tidak mahu bersyukur kerana mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mendapat nikmat kurniaan Tuhan.....Fikir-fikirkan.

No comments:

Post a Comment